Current Visitor

This is default featured slide 1 title

Go to Blogger edit html and find these sentences.Now replace these sentences with your own descriptions.

This is default featured slide 2 title

Go to Blogger edit html and find these sentences.Now replace these sentences with your own descriptions.

This is default featured slide 3 title

Go to Blogger edit html and find these sentences.Now replace these sentences with your own descriptions.

This is default featured slide 4 title

Go to Blogger edit html and find these sentences.Now replace these sentences with your own descriptions.

This is default featured slide 5 title

Go to Blogger edit html and find these sentences.Now replace these sentences with your own descriptions.

Isnin, 28 Februari 2011

Persediaan Memasuki Tapak @ Site Of Possesion

Pihak kontraktor perlu bersaing sesama sendiri bagi memenangi sesuatu projek dengan menawarkan tawaran harga yang munasabah dan berdaya saing. Pihak klien pula, akan menilai bagi memilih kontraktor yang betul-betul berkelayakan bagi melaksanakan kerja.

Surat Setuju Terima (L.A) yang dikeluarkan oleh pihak klien adalah satu dokumen penting yang membenarkan untuk kontraktor memulakan kerja di tapak.

Bagi memasuki tapak, terdapat beberapa perkara yang perlu dipatuhi oleh pihak kontraktor sebelum memulakan kerja yang diringkaskan seperti berikut:

(i) Mengemukakan bon pelaksanaan dalam jaminan bank atau bank guarantee , sekiranya pihak kontraktor gagal menyediakan Jaminan Bank, alternatifnya, bon pelaksanaan boleh disediakan melalui kaedah Wang Jaminan Pelaksanaan (WJP).

(ii) Mengemukakan polisi-polisi insuran seperti Contractor All Risk (C.A.R), Public Liability dan Workmen Compensation.

(iii) Menyediakan 'Work Programme'.

(iv) Menyediakan Carta Organisasi Kontraktor di tapak

(v) Mengemukakan alamat dan nombor telefon pejabat tapak yang berhampiran tapak projek

(vi) Mengemukakan butiran akaun bank syarikat untuk tujuan pembayaran interim.

Sekiranya pihak kontraktor dapat mengemukakan keperluan seperti yang dinyatakan tadi, proses memasuki tapak akan menjadi bertambah mudah dan melancarkan proses komunikasi antara pihak kontraktor dan klien. .

Sabtu, 26 Februari 2011

Pembiayaan Projek Hartanah

Pembiyaan projek hartanah ialah satu proses untuk mendapatkan atau memperolehi sumber-sumber dalam bentuk kewangan bagi membolehkan sesuatu projek tersebut dapat dilaksanakan dan dapat disiapkan.

Terdapat beberapa kaedah pembiyaan dalam projek hartanah iaitu seperti:
(i)  Pembiayaan Projek
(ii) Pinjaman Penyambung @ Bridging Loan
(iii) Pinjaman Akhir @ End Financier

(i) Pembiyaan projek ialah satu kaedah yang jarang digunakan di Malaysia. Pemaju hartanah akan mendapatkan pinjaman daripada peminjam dengan menggunakan projek tersebut sebagai cagaran dan hasil pulangan projek akan digunakan untuk mebuat bayaran balik kepada peminjam. Walaubagaimanapun, untuk mendapatkan pinjaman tersebut, pemaju perlu mengemukakan satu penyata aliran pendapatan atau project cash flow bagi tujuan penilaian oleh pihak peminjam. Sekiranya, hasil pulangan projek adalah berdaya saing atau viability, pinjaman tersebut akan diluluskan dan projek hartanah boleh dimulakan

(ii) Pinjaman Penyambung ialah satu kaedah pembiyaan oleh institusi kewangan atau pihak bank kepada pemaju ketika projek bermula sehingga projek tamat. Pembiyaan ini adalah bertujuan untuk menampung kos-kos pembinaan bangunan dan infrastruktur. Mengikut kebiasaan, pihak pemaju akan menggunakan tanah yang dibangunkan projek sebagai cagaran kepada pihak bank untuk kelulusan memberi pinjaman.

Sekiranya saiz projek hartanah itu adalah kecil, adalah memadai untuk membuat pinjaman daripada satu bank sahaja. Walaubagaimanapun sekiranya, projek itu adalah bersaiz besar dan berisiko tinggi, pembiyaan boleh dibuat melalui Pinjaman Bersendikit. Pinjaman Bersendikit ini akan diuruskan oleh Bank Saudagar yang bertindak sebagai pengurus yang dibayar oleh caj-caj pentadbiran bagi mendapatkan pinjaman daripada dua atau lebih bank untuk membiayai projek hartanah tersebut.

Syarat awal yang akan disemak oleh pihak bank sebelum pembiyaan diluluskan ialah seperti:

(a) Lesen pemaju dan permit iklan telah dperolehi
(b) Pelan bangunan telah diluluskan
(c) Tanah telah ditukar syarat dan pecah sempadan

Manakala, penilaian akhir yang akan dibuat oleh pihak bank sebelum pembiyaan diluluskan ialah akan memastikan syarikat pemaju hartanah tersebut mempunyai pengalaman kerja sebelum ini, mempunyai asas kewangan yang kukuh, memiliki pengurusan syarikat yang berwibawa dan latar belakang syarikat yang menyakinkan.

Bentuk pinjaman yang biasa dikeluarkan oleh pihak bank adalah dalam bentuk pinjaman berpenggal (term loan) atau secara overdraf

(iii) Pinjaman Akhir ialah pembiayaan yang dikeluarkan kepada pembeli hartanah bagi membolehkan pemaju menyiapkan projek hartanah tersebut. Mengikut keadaan semasa, pihak pemaju hartanah akan membantu para pembeli untuk mendapatkan pembiyaan daripada pihak bank. Kebanyakan pihak bank mengenakan faedah yang berdaya saing diantara satu sama lain.

Pinjaman akhir juga boleh didapati daripada Perbendaharaan Malaysia untuk membiyai pembelian hartanah keatas kakitangan kerajaan.

Syarat-syarat yang biasa dipatuhi oleh pembeli hartanah ketika memohon pembiyaan daripada pihak bank atau Perbendaharaan Malaysia adalah perlu menyediakan:
(a) Salinan Surat Perjanjian Jual Beli (S & P) yang telah ditandatangani
(b) Salinan kad pengenalan
(c) Salinan penyata cukai pendapatan
(d) Pengesahan gaji dari majikan
(e) Salinan penyata akaun bank (3 bulan terakhir)

Khamis, 24 Februari 2011

Kadar Denda Dan Gantirugi Ditetapkan (LAD)

Kadar Denda Dan Gantirugi Ditetapkan atau LAD (Liquidated Ascertained Damage) adalah satu kadar denda yang akan dikenakan terhadap pihak kontraktor sekiranya gagal menyiapkan projek dalam masa yang telah ditetapkan atau tempoh Perakuan Kelambatan dan Lanjutan Masa (EOT) telah berakhir. Walaubagaimanapun, LAD hanya boleh dilaksanakan terhadap kontraktor sekiranya Sijil Perakuan Kerja Tak Siap (CNC) telah dikeluarkan.

Untuk mengira LAD formulanya adalah seperti berikut:

             Prime Rate (PR) 
                    365 hari

Kadar PR adalah bergantung kepada BLR atau Kadar Pinjaman Asas yang dikeluarkan oleh bank-bank perdagangan tempatan seperti Maybank, CIMB, Public Bank dan lain-lain lagi.

Kita ambil satu contoh, katakan harga kontak adalah RM 5 Juta dan kadar BLR semasa adalah 6.0%

       Jadi      6.0%   = 0.0164% untuk kadar LAD sehari
                   365

          =>     0.0164%  x RM 5,000,000.00
                    100%

          =>  RM 820.00 sehari.

Jadi kadar LAD yang akan dikenakan kepada kontraktor sekiranya gagal menyiapkan kerja dalam tempoh yang ditetapkan adalah sebanyak RM 820.00 sehari.

Kepada sahabat-sahabat di luar sana, bolehlah mencuba membuat pengiraan atau latihan mengikut contoh formula yang diterangkan sebentar tadi. 

Rabu, 23 Februari 2011

Imbasan Projek - Projek Lebuhraya Utara Selatan Malaysia

Projek Lebuharaya Utara Selatan ialah satu projek lebuhraya yang menghubungkan laluan daripada Bukit Kayu Hitam di sebelah Utara Malaysia sehingga Johor Bahru di bahagian Selatan Malaysia. Projek ini telah dijalankan secara berperingkat bermula dari tahun 1981 hingga 1995.


Panjang keseluruhan lebuhraya ini ialah sepanjang 847.70km. Ia melibatkan dua jajaran iaitu Jajaran Utara yang bermula dari Bukit Kayu Hitam sehingga Jalan Duta, Kuala Lumpur. Manakala jajaran selatan adalah bermula dari Johor Bahru sehingga Sungai Besi. Bagi kenderaan yang ingin meneruskan perjalanan dari selatan ke utara atau sebaliknya dan tidak ingin melalui Pusat Bandaraya Kuala Lumpur, laluan Lebuhraya PLUS ini telah disambungkan ke Lebuhraya Elite yang bermula dari Sungai Buloh sehingga Persimpangan Nilai di Negeri Sembilan.

Kos keseluruhan projek adalah dianggarkan sebanyak Ringgit Malaysia 6 Billion. Pada peringkat permulaan, projek ini dikendalikan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) sebelum diserahkan kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) selaku pemegang konsesi iaitu Plus Expressway Berhad.   

Terdapat pelbagai kemudahan tekah disediakan oleh pihak PLUS Expressway untuk keselesaan pemandu yang diantaranya seperti :

a) Pembinaan Kawasan Rehat & Rawat (R & R) dan Hentian Sebelah untuk setiap 60km di sepanjang lebuhraya
b) Kemudahan telefon kecemasan untuk setiap 2 km
c) Perkhidmatan PLUS Ronda
d) Restoran Bertingkat di Sungai Buloh dan Ayer Keroh

Sistem tol yang dilaksanakan di Lebuhraya Utara Selatan adalah secara tertutup iaitu pemandu akan mengambil tiket dari tempat bermula dan membayarnya di plaza tol keluar. Walaubagaimanapun, pengguna-pengguna kenderaan mempunyai alternatif untuk membuat pembayaran tol samaada melalui Sistem Touch N Go atau Smart Tag.

Lebuhraya Utara Selatan telah dibuka kepada pihak awam secara rasminya pada 08 September 1994.  

Selasa, 22 Februari 2011

Penyediaan Dokumen Tender

Dokumen Tender ialah satu naskah tawaran yang dikeluarkan oleh pihak klien apabila ia berhasrat untuk melaksanakan sesuatu projek. Pihak kontraktor yang berminat untuk menyertai projek tersebut perlu mengisi dan melengkapkan dokumen tender dan memulangkan dalam tempoh masa yang ditetapkan.

Untuk menyediakan dokumen tender, perkara-perkara berikut perlu dimasukkan dalam dokumen tersebut bagi memudahkan pihak kontraktor untuk melihat, menyemak keperluan, meneliti dan seterusnya untuk mengisinya.

Antara perkara-perkara yang perlu dimasukkan tersebut ialah:

a) Kenyataan Tawaran
b) Arahan Kepada Petender @ Instructions To Tenderers
c) Borang Tender @ Form Of Tender
d) Surat Setujuterima Tender @ Letter Of Acceptance (L.A)
e) Syarat-Syarat Kontrak @ Conditions Of Contract (C.O.C)
f) Speksifikasi
g) Preamble
h) Senarai Kuantiti @ Bill Of Quantity (BQ)
i) Latar Belakang Petender
j) Pelan-pelan

Perkara-perkara yang telah dinyatakan di atas adalah dokumen-dokumen yang perlu dimasukkan di dalam penyediaan sesuatu dokumen tender. Walaubagaimanapun, agensi-agensi atau jabatan kerajaan boleh mengubahsuaikan mengikut kesesuaian tempat masing-masing.

Isnin, 21 Februari 2011

Imbasan Projek - Menara Kuala Lumpur @ KL Tower

Menara Kuala Lumpur ialah salah satu mercu tanda yang terdapat di Bandaraya Kuala Lumpur, Malaysia. Pembinaan projek ini telah dimulakan pada Oktober 1991 dan siap pada 13 September 1994. Ia telah dibuka kepada orang awam pada 23 Julai 1996.



Menara Kuala Lumpur adalah terletak di atas sebuah bukit di Bukit Nenas, Kuala Lumpur. Ketinggian menara ini ialah setinggi 421 meter  dan ia merupakan menara telekomunikasi kelima (5) tertinggi di dunia selepas Menara CN di Kanada yang berketinggian 553m, Menara Ostankino di Russia berketinggian 537m, Menara Shanghai di Negara China dengan ketinggian 468m dan Borj-e Milad dengan ketinggian 435m di Iran..

Reka bentuk menara ini direka oleh Kumpulan Senireka Sdn. Bhd. iaitu sebuah syarikat tempatan di Malaysia.  Reka bentuk menara ini dipengaruhi oleh seni bina Islam, Jerman, Perancis dan tempatan.


Menara Kuala Lumpur selalu digunakan untuk aturcara penting bagi umat Islam kerana disinilah tempat penentuan anak bulan Ramadan dan Syawal dilakukan di puncak menara tersebut.

Sabtu, 19 Februari 2011

Inflasi Dalam Industri Pembinaan

Inflasi bermaksud peningkatan secara beransur-ansur di dalam paras harga umum ke atas barang-barang dan perkhidmatan. Ia diukur sebagai peningkatan dalam peratusan tahunan. Jika inflasi naik, setiap ringgit yang dibeli akan mendapat nilai barangan yang kecil.

Di dalam industri pembinaan, jika inflasi naik, kos untuk pembinaan akan naik dari segi pembelian dan penggunaan bahan binaan seperti besi, kayu, simen, pasir dan lain-lain.

Punca-punca inflasi ialah :
1) Permintaan tinggi dan bekalan adalah kurang
2) Peningkatan dalam kos pengeluaran di mana apabila kos bahan mentah meningkat, kos pengeluaran juga akan meningkat. Jadi ia akan mengakibatkan, syarikat pengeluar akan memindahkan kos kenaikan tersebut kepada penggunan bagi tujuan mengekalkan margin.

Kesan-kesan dari inflasi adalah dilihat akan menyebabkan kos barang-barang di pasaran menjadi mahal dan kuasa pembeli akan menjadi menurun. Manakala dalam industri pembinaan, kesan inflasi akan mengakibatkan kos bahan binaan akan menjadi naik dan bilangan pelaksanan kerja atau projek akan berkurangan.



Jumaat, 18 Februari 2011

Bon Pelaksanaan

Bon Pelaksanaan ialah satu bentuk jaminan yang wajib  dan perlu disediakan oleh pihak kontraktor yang telah disetujuterima oleh pihak klien iaitu pihak kerajaan sebelum ia memulakan kerja di tapak.

Nilai Bon Pelaksanaan adalah 5% daripada jumlah harga kontrak. Contoh pengiraan adalah seperti berikut:

Katakan harga kontrak termasuk kos builders work dan prime cost adalah RM 1 Juta. Jadi nilai bon pelaksanaan ialah RM 1 Juta x 5% = RM 50,000.00

Terdapat dua jenis bon pelaksanaan yang boleh dikemukakan oleh pihak kontraktor iaitu Jaminan Bank atau Bank Guarantee dan Wang Jaminan Pelaksanaan atau Performance Sum Guarantee.

Bon Pelaksanaan dalam bentuk Jaminan Bank adalah satu bon yang disediakan oleh pihak kontraktor dan dikeluarkan oleh bank-bank tempatan mengikut nilai 5% daripada jumlah harga kontrak. Tempoh jaminan tersebut adalah meliputi tempoh harga kontrak asal + tempoh kecacatan kerja + 1 tahun.

Wang Jaminan Pelaksanaan (WJP) pula ialah satu kaedah alternatif penyediaan bon pelaksanaan sekiranya kontraktor gagal atau tidak dapat mengemukakan bon  dalam bentuk jaminan bank. Cara pelaksanaan kaedah ini ialah melalui pemotongan bayaran interim sebanyak 10% sehingga ia mencapai nilai 5% dariapada harga kontrak.

Bon Pelaksanaan ini hanya boleh dituntut oleh pihak kontraktor apabila Sijil Perakuan Siap Kerja (CPC) dikeluarkan oleh pihak klien. Walaubagaimanapun nilai yang boleh dituntut hanya adalah separuh atau 2.5% dari nilai 5%. Manakala  baki 2.5% nilai bon pelaksanaan hanya boleh dituntut oleh kontraktor selepas pengeluaran Sijil Siap Memperbaiki Kecacatan (CMGD).

Sekiranya pada tempoh Sijil Perakuan Siap Kerja (CPC) dikeluarkan oleh pihak klien dan didapati pihak kontraktor mengemukakan bon pelaksanaan melalui Jaminan Bank. Ia perlu mengemukakan jaminan bank baru yang bernilai 2.5% dari harga kontrak untuk merangkumi dari Tempoh Siap Kerja sehingga Tempoh Kecacatan (DLP) berakhir.

Rabu, 16 Februari 2011

Imbasan Projek - SMART TUNNEL

SMART adalah singkatan kepada  STORMWATER  MANAGEMENT  AND  ROAD TUNNEL.

Projek ini telah dibuka kepada orang awam pada  14 Mac 2007 dengan kadar tol sebanyak RM 2.00 sehala

Projek pembinaan ini telah bermula pada 1 Januari 2003 dan siap pada 31 Disember 2006 dalam tempoh masa 4 tahun. Kos pembinaan yang terlibat adalah sebanyak RM 1.93 Billion

Objektif  pembinaan projek ini ialah :

a) Untuk menangani masalah banjir yang berlaku di Pusat Bandaraya Kuala Lumpur
b) Untuk mengurangkan kesesakan laluan masuk ke Kuala Lumpur berdekatan  Lapangan Terbang Sungai Besi



SMART Tunnel merupakan terowong pertama di dunia yang mengandungi laluan kenderaan dan laluan air.


Projek ini telah dilaksanakan oleh Syarikat Mengurus Air Banjir Dan Terowong Sdn Bhd  (SMART SB) yang merupakan syarikat Joint Venture (JV) di antara Gamuda Berhad dan MMC Engineering. Agensi  kerajaan yang bertanggungjawab yang menyelia projek ini ialah Jabatan Pengairan Dan Saliran (JPS) untuk komponen laluan air dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) untuk komponen laluan jalan raya.


Garis pusat terowong SMART Tunnel ialah sepanjang 13.26m  dan merupakan terowong terbesar di Asia Tenggara dan kedua terbesar di Asia. Terowong ini mempunyai 2 tingkat untuk laluan jalan dan 1 tingkat untuk laluan air. Panjang keseluruhan terowong ialah 11.50km yang merangkumi 9.70km untuk laluan air dan 3.00km laluan untuk jalan raya.

Tiga jalan keluar dan masuk ke terowong kenderaan adalah dibina di kawasan Jalan TunRazak berhampiran Bulatan Kampong Pandan, Jalan Davis berhampiran Berjaya Times Square dan Lebuhraya Kuala Lumpur - Seremban berhampiran Lapangan Terbang Sg. Besi.

Manakala untuk terowong lencungan banjir adalah bermula dari Kg Berembang, Ampang ke bekas lombong di Taman Desa.

Selasa, 15 Februari 2011

Penyediaan Dokumen Kontrak

Dokumen kontrak adalah satu dokumen perjanjian diantara pihak klien atau majikan bersama dengan pihak kontraktor untuk pelaksanaan sesuatu projek.

Dalam perlaksanaan projek-projek di bawah kendalian pihak agensi kerajaan, penyediaan dokumen kontrak hendaklah diselesaikan dalam tempoh empat (4) bulan dari tarikh milik tapak.

Kementerian Kewangan Malaysia melalui Surat Pekeliling Perbendaharaan (SPP) Bilangan 5 Tahun 2007 iaitu Tatacara Pengurusan Perolehan Kerajaan Secara Tender (muka surat 31) ada menyatakan tentang keperluan dokumen kontrak perlu disiapkan dalam tempoh 4 bulan dari tarikh milik tapak. (sila  rujuk pautan berikut http://www.treasury.gov.my/pekeliling/spp/spp052007.pdf )

Dalam tempoh 4 bulan tersebut, pihak kontraktor hanya dibenarkan untuk membuat tuntutan bayaran interim sebanyak tiga (3) kali. Maksud penyelesaian dokumen kontrak ini ialah, kontrak telah ditandatangani oleh pihak kontraktor dan pihak kerajaan, kadar harga telah diselaraskan (sekiranya perlu) dan dokumen kontrak telah dimatikan setem.

Kesan daripada kegagalan penyempurnaan dokumen kontrak dalam tempoh yang ditetapkan, akan menyebabkan pihak kontraktor tidak boleh membuat tuntutan bayaran seterusnya.

Isnin, 14 Februari 2011

Projek Pembangunan Hartanah Secara Usahasama

Tanah ialah suatu sumber terpenting dalam pembangunan sesuatu projek hartanah. Tanpa tanah, suatu projek hartanah tersebut tidak akan dapat dilaksanakan.

Terdapat pelbagai cara yang dilakukan oleh pihak klien atau pemaju untuk mendapatkan tanah iaitu dengan cara membeli terus daripada pemilik atau mengambilalih syarikat lain yang dipercayai mempunyai stok tanah yang banyak.

Walaubagaimanpun, dalam situasi semasa, dilihat persaingan untuk memperolehi stok tanah adalah sengit. Jadi wujudlah satu kaedah baru dalam projek pembangunan hartanah iaitu melalui kaedah usaha sama atau Joint Venture (JV).

Maksud kaedah usaha sama atau joint venture (JV) ialah melibatkan perkongsian antara dua pihak atau lebih dalam pembangunan suatu projek hartanah.

Terdapat 3 kaedah usahasama atau JV yang dikenalpasti di dalam pembangunan suatu projek hartanah iaitu seperti berikut:
(a) Syarikat Usahasama
(b) Perkongsian
(c) Usaha sama secara kontrak

a) Syarikat Usahasama
Syarikat Usahasama bermaksud satu syarikat usaha sama telah diwujudkan oleh 2 pihak atau lebih dalam     perlaksanaan sesuatu projek. Syarikat Usahasama adalah dibenarkan untuk memiliki hartanah, memasuki kontrak atas nama syarikat kontrak hartanah dan boleh mengambil pekerja.Selain itu, para pelabur adalah dibenarkan untuk memiliki syer di dalam syarikat usaha sama dan berhak untuk memperolehi keuntungan dari projek yang dilaksanakan. Syarikat Usahasama adalah dibenarkan untuk mendapatkan pinjaman daripada bank atau syarikat induk. Walaubagaimanapun, penubuhan syarikat usahasama adalah tertakluk kepada peraturan perundangan seperti perlu melengkapkan akaun, mengendalikan mesyuarat dengan pemegang syer dan melaporkan urusniaga pengarah.

b) Perkongsian
Ia adalah tertakluk kepada Akta Perkongsian 1961 iaitu perkongsian adalah diantara 2 pihak sehingga maksimum 20 pihak. Seksyen 2 Akta ada menyatakan terdapat hubungan antara beberapa pihak yang menjalankan perniagaan bagi tujuan untuk mendapatkan keuntungan. Pembentukan perkongsian hendaklah menurut proses undang-undang dengan menwujudkan kontrak antara pihak yang berkongsi. Setiap tindakan yang dibuat oleh pengkongsi akan mengikat pengkongsi lain. Tanggungjawan bersama di dalam perkongsian ialah menanggung hutang bersama. Dalam Seksyen 34(1) Akta Perkongsian juga ada menyatakan bahawa, sekiranya sesuatu perkongsian itu telah siap dilaksanakan, maka perkongsian tersebut telah dianggap bubar. Di dalam perkongsian, pihak yang terlibat tidak perlu mengemukakan akaun masing-masing. Oleh itu pengurusan perkongsian ini adalah dianggap satu rahsia. Belanja mentadbir perkongsian adalah lebih mudah dan murah berbanding syarikat usaha sama. Kelebihan perkongsian, dari segi cukai dimana setiap rakan kongsi boleh menuntut atau menafikan peruntukan modal bergantung kepada syer keuntungan. Oleh kerana perkongsian tidak mengandungi entiti perundangan, dari segi cukai, ia lebih telus. Manakala kekurangannya ialah liabliti adalah tanggungan bersama diantar semua pengkongsi.

c) Usaha sama Secara Kontrak
Bermaksud suatu perjanjian usaha sama di antara pemaju dan tuan tanah untuk berkongsi sumber-sumber dan keuntungan tanpa mewujudkan syarikat usaha sama atau perkongsian. Ciri-ciri usaha sama secara kontrak adalah melalui jualan hadapan, pajakan seiring dan penrjanjian pengurusan projek. Perkongsian keuntungan biasanya 60:40 antara pemaju dan pemilik tanah. Faktor-faktor yang menyumbang kepada usaha sama secara kontrak adalah disebabkan oleh sebab kekurangan tanah memperolehi tanah di lokasi strategik, pengurangan kos pembangunan, pengurangan risiko pelaburan dan meluaskan pasaran

Ahad, 13 Februari 2011

Bayaran Pendahuluan @ Advanced Payment

Dalam melaksanakan sesuatu projek kerajaan, terdapat peruntukan yang membolehkan pihak kontraktor membuat permohonan bagi mendapatkan 'Bayaran Pendahuluan' atau Advanced Payment. Peruntukan ini terkandung dalam Borang Kontrak yang merangkumi untuk kontrak konvensional atau 'Design And Build' dalam 'Peruntukan Khas Untuk Syarat-syarat Kontrak'.

Kementerian Kewangan Malaysia melalui Surat Pekeliling Perbendaharaan Bil 5 Tahun 2007 iaitu Tatacara Pengurusan Perolehan Kerajaan Secara Tender juga membenarkan kontraktor untuk memohon Advanced Payment daripada agensi pelaksana. Sila rujuk pautan berikut: http://www.treasury.gov.my/pekeliling/spp/spp052007.pdf

Kontraktor adalah dibenarkan untuk memohon Advanced Payment dengan nilai 25% dari harga kontrak (Builders Work Sahaja) atau maksimum RM 10 Juta.

Contoh Pengiraan adalah seperti berikut: Katakan harga kontrak kerja ialah RM 5 Juta dan termasuk Wang Kos Prima ialah RM 500,000.00. Jadi amaun Advanced Payment yang layak dituntut oleh kontraktor adalah sebanyak RM 1,125,000.00 sahaja.

Cara Pengiraan ~ RM 5,000,000.00 - RM 500,000.00 = RM 4,500,000.00 x 25% = RM 1,125,000.00

Apabila kontraktor ingin memohon Advanced Payment ia perlu memenuhi syarat berikut :

a) Menandatangani Surat Setujuterima (L.A)
b) Menghantar polisi insuran yang berkaitan
c) Menyediakan Bon dalam bentuk Jaminan Bank @ Bank Guarantee daripada bank tempatan

Pihak kerajaan akan membuat tuntutan semula atau rekupan ke atas Advanced Payment tersebut melalui bayaran interim kerja apabila kemajuan kerja telah mencapai kemajuan sebanyak 25%.

Tuntutan untuk advanced payment hanya boleh dipohon oleh pihak kontraktor dalam masa 3 bulan dari tarikh milik tapak.

Jumaat, 11 Februari 2011

Perolehan ~ Tender

Perolehan tender adalah satu kaedah yang boleh dijalankan oleh agensi-agensi atau jabatan kerajaan untuk tujuan melaksanakan kerja, membekal barangan atau perkhidmatan.

Dalam rencana ini, perolehan tender yang akan difokuskan adalah dalam skop perlaksanaan tender 'kerja'. Perolehan tender kerja kebiasaannya adalah menggunakan lesen pendaftaran di bawah Pusat Khidmat Kontraktor (PKK).

Nilai kontrak untuk perolehan tender adalah bermula dari RM 500,000.00 dan ke atas. Ini bermakna, kelas pendaftaran PKK yang boleh dipanggil secara tender adalah bermula dari kelas D sehingga kelas A. Setiap kelas pendaftaran kontraktor mempunyai had perolehan yang berbeza yang disenaraikan seperti berikut:

Kelas A = RM 10 Juta Keatas
Kelas B = RM 5 Juta - RM 10 Juta
Kelas C = RM 2 Juta - RM 5 Juta
Kelas D = RM 500,000.00 - RM 2 Juta

Prosedur pemanggilan tender adalah bermula dengan pengeluaran notis iklan tender di akhbar-akhbar utama tempatan seperti Utusan Malaysia atau Berita Harian dalam tempoh masa 21 hari. Lawatan tapak akan diadakan sekiranya perlu.

Setelah tender ditutup, laporan penilaian tender akan disediakan bagi tujuan untuk menganalisa dan menilai kemampuan kontraktor dari segi kesempurnaan dokumen, keupayaan kewangan, bilangan kerja di dalam tangan dan pengalaman kerja lepas.

Laporan penilaian tender yang telah siap, akan dimajukan ke Lembaga Perolehan Tender Agensi bagi tindakan pemilihan kontraktor yang layak untuk melaksanakan kerja.

Kontraktor yang telah dipilih oleh Lembaga Perolehan Tender akan dikeluarkan Surat Setujuterima Tender (L.A) bagi tindakan memulakan kerja di tapak.

Levi CIDB

Tahukah anda. Untuk setiap projek yang bernilai RM 500,000.00 ke atas, pihak kontraktor wajib dikenakan levi oleh pihak Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB). Jumlah levi yang dikenakan ialah sebanyak 0.125% daripada jumlah harga kontrak.

Contoh pengiraan mudah adalah seperti berikut:

Katakan harga kontrak adalah RM 1 Juta. Jadi, kadar levi yang perlu dibayar ialah 0.125/100 x RM 1,000,000.00 = RM 1,250.00


Walaubagaimanapun terdapat pengecualian terhadap beberapa projek daripada dikenakan levi yang seperti berikut:

a)  Mana-mana kerja pembinaan yang melibatkan  projek perumahan kos rendah, kos sederhana rendah dan kos sederhana dikecualikan daripada pengenaan levi.

b) Mana-mana projek perumahan yang menggunakan komponen Sistem Binaan Berindustri (IBS) melebihi 50% dikecualikan daripada pengenaan levi.

Sekiranya, pihak kontraktor gagal menunaikan obligasi tersebut, hukuman berikut akan dikenakan:

Berdasarkan kepada Seksyen 34(4), Akta 520 dan Peraturan-Peraturan Industri Pembinaan (Pendaftaran Kontraktor) 1995, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia, Akta 1994, mana-mana Kontraktor Berdaftar yang gagal membayar apa-apa levi yang kena dibayar dalam apa-apa tempoh yang ditetapkan, kontraktor berdaftar itu adalah telah melakukan kesalahan di bawah akta dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM50,000.00. Pihak Lembaga juga boleh mengambil Tindakan Tatatertib untuk membatal, menggantung atau menarik-balik pendaftaran kontraktor dengan pihak CIDB

Proses Pembangunan Projek Hartanah

Pelaksanaan sesuatu projek seperti pembinaan unit kediaman adalah bergantung sepenuhnya kepada pihak klien atau pemaju. Sekiranya, pihak klien tersebut mempunyai kemampuan kewangan, projek tersebut akan diteruskan.

Apabila pihak klien bersetuju untuk melaksanakan projek, satu pihak perunding akan dilantik bagi menjalankan Kajian Kemungkinan atau Feasibility Study untuk melihat daya saing atau viability of project tersebut samaada ia menguntungkan atau sebaliknya kepada pihak pemaju.

Sekiranya, hasil daripada kajian Feasibilty Study menunjukkan impak atau pulangan positif kepada klien, proses pembelian tanah akan dijalankan. Proses pembelian tanah ini boleh dijalankan samaada melalui tender, lelong atau runding terus.

Selanjutnya, proses permohonan penukaran status tanah dan pecah sempadan akan dijalankan daripada status tanah pertanian kepada bangunan (sekiranya perlu).


Proses permohonan pertukaran tukar syarat dan pecah sempadan akan dijalankan di Pejabat Tanah Galian (P.T.G) dan perlu mendapat kelulusan daripada Majlis Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri.

Setelah kelulusan tukar syarat dan pecah sempadan telah diperolehi, proses berikut akan dilaksanakan seperti berikut:

(i) Pelantikan perunding profesional seperti Arkitek, Jurutera Mekanikal & Elektrikal, Jurutera Sivil & Struktur, Juruukur Bahan, Juruukur Tanah bagi tujuan penyediaan rekabentuk dan mendapatkan kelulusan pelan bangunan.

(ii) Pihak klien boleh memohon permit dan lesen pemaju dari Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan seterusnya boleh memohon pembiayaan kewangan daripada bank perdagangan tempatan.

Selepas selesai kedua-dua proses diatas, projek pembinaan hartanah tersebut boleh dijalankan daripada mula sehingga selesai iaitu termasuk proses penjualan hartanah tersebut


(Sumber adalah petikan dari buku Ekonomi Binaan)

Khamis, 10 Februari 2011

Makluman Kursus QS Terbaru

Bersama-sama ini dilampirkan maklumat berkaitan kursus terbaru Ukur Bahan (QS) anjuran Pusat Latihan NZMCTC yang akan diadakan pada 22 Februari 2011 dan 23 Februari 2011 (2 Hari) di Hotel Putra, Kuala Lumpur.

Sila klik maklumat dibawah untuk keterangan lanjut

http://nzmctc.com/index.php?option=com_hwdcourses&Itemid=&func=details&did=35

Senarai Buku Untuk Di Kongsi Bersama

Buat sahabat-sahabat yang berada di dalam 'construction line' merangkumi government, perunding, pemaju, kontraktor dan para siswa-siswa yang berada di IPTA atau Politeknik bolehlah mendapat buku-buku berikut sebagai rujukan atau untuk menambah pengetahuan:

Tajuk : Ekonomi Binaan
Pengarang : Khairani Hj Ahmad
Penerbit : Pearson - Prentice Hall









Tajuk : Pengukuran Kuantiti Bangunan
Pengarang : Ahamad Abdullah & Khairuddin Abdul Rashid
Penerbit : Pearson - Prentice Hall


Tajuk : Anggaran Kos Kerja Bangunan
Pengarang : Ahamad Abdullah
Penerbit : Pearson - Prentice Hall

Tajuk : Aspek Undang-Undang Tort
Pengarang : Abdul Aziz Hussin & Abdul Rashid Abdul Aziz
Penerbit : Penerbit USM


Tajuk : Aspek Undang-Undang Timbangtara
Pengarang : Abdul Aziz Hussin
Penerbit : Penerbit USM


Tajuk : Pengurusan Kontrak
Pengarang : Syed Abdul Haris Mustapa
Penerbit : Penerbit UiTM

Tajuk : Undang-Undang Pembinaan (Bon-bon Gerenti Dalam Kontrak Pembinaan)
Pengarang : Abdul Aziz Hussin & Abdul Rashid Abdul Aziz
Penerbit : Penerbit USM

Tajuk : Undang-Undang Tort Dalam Indsutri Binaan Di Malaysia
Pengarang : Zaleha Sa'adon
Penerbit : Dewan Bahasa Dan Pustaka


Tajuk : Undang-Undang Kontrak
Pengarang : Abdul Aziz Hussin
Penerbit : Dewan Bahasa Dan Pustaka


Tajuk : Project Management
Pengarang : Hamimah Adnan, Mohd Nizam Rahmat & Abdul Hadi Nawawi
Penerbit : Penerbit UiTM

Tajuk : Aspek Undang-Undang Dalam Pengurusan Projek Pembinaan
Pengarang : Abdul Aziz Hussin
Penerbit : Penerbit USM









Buku-buku di atas boleh didapati di toko-toko buku berhampiran.

Selasa, 8 Februari 2011

Perbezaan Definasi Pegawai Penguasa (S.O) dan Pengarah Projek (P.D)

Seringkali dilihat pihak-pihak yang terlibat di dalam pentadbiran kontrak atau industri binaan tidak memahami akan maksud dan perbezaan istilah di antara Pegawai Penguasa (P.P) atau Superintending Officer (S.O) dengan Pengarah Projek (P.P) atau Project Director (P.D).

Kedua-dua Pegawai Penguasa (S.O) atau Pengarah Projek (P.D) adalah didapati mempunyai kuasa dalam pentadbiran kontrak sesuatu projek. Walaupun dilihat, kedua-duanya mempunyai persamaan tetapi sebenarnya mempunyai perbezaan yang tersendiri.

Istilah Pegawai Penguasa (P.P) secara umumnya digunakan untuk projek yang dilaksanakan secara konvensional, dimana kontraktor yang dilantik untuk melaksanakan kerja adalah menggunakan borang kontrak JKR 203A atau JKR203.

Istilah Pengarah Projek (P.D) pula, secara umumnya digunakan untuk projek yang dilaksanakan secara 'design and build'. Dimana didalam projek secara design and build. Kontraktor adalah didapati untuk bertanggungjawab, menyediakan rekabentuk dan melaksanakan kerja. Disini dapat difahami akan skop tugas Pengarah Projek (P.D) adalah berlainan dengan tugas seorang Pegawai Penguasa (P.P) dalam kontrak konvensional.

Walaubagaimanapun, tugas kedua-duanya iaitu P.P dan P.D didapati mempunyai persamaan dari segi kuasa mengeluarkan sijil-sijil perakuan seperti Perakuan Kelambatan Dan Lanjutan Masa (EOT), Perakuan Siap Kerja (CPC), Perakuan Kerja Tak Siap (CNC) dan Perakuan Siap Memperbaiki Kecacatan (CMGD).

Secara kesimpulannya, perbezaan terhadap istilah P.P dan P.D dapat dilihat menerusi penggunaan jenis kontrak samaada ia mengunakan secara tradisional atau design and build.