Current Visitor

Sabtu, 17 Mei 2014

BERITA BINAAN~ UMP bina bangunan guna bahan terpakai



KUANTAN - Universiti Malaysia Pahang (UMP) dengan kerjasama syarikat Portland Group of Companies berjaya membina sebuah bangunan menggunakan kontena terpakai yang merupakan projek pertama seumpamanya di negara ini.

Uniknya bangunan setinggi tiga tingkat yang mempunyai 72 bilik dan terletak di kawasan UMP itu turut menggunakan bahan binaan lain dihasilkan daripada sisa buangan industri.

Dekan Fakulti Kejuruteraan Kimia dan dan Sumber Asli, Profesor Datuk Dr Rosli Mohd Yunus berkata, usaha untuk membina bangunan dengan menggunakan kontena itu dimulakan setahun yang lepas.

"Di luar negara seperti Jerman dan Belanda, membina bangunan dengan menggunakan kontena bukanlah suatu perkara asing, malah mereka membina bangunan sehingga setinggi 12 tingkat.

"Namun ia merupakan satu perkara baharu di negara ini dan lazimnya kita lihat, kontena terpakai ini hanya digunakan untuk pejabat sementara di tapak-tapak pembinaan, sedangkan sebenarnya ia boleh digunakan untuk membina bangunan bagi kegunaan kediaman mahupun pejabat," katanya kepada Bernama di sini.

Bertitik tolak daripada idea itu, satu pasukan kerja telah dibentuk antara penyelidik UMP dan kakitangan Portland untuk memikirkan konsep yang paling sesuai digunakan bagi pembinaan bangunan ‘hijau’ ini yang menggunakan bahan kitar semula hasil penyelidikan UMP secara maksimum, kata Dr Rosli.

Antara produk hijau yang digunakan dalam pembinaan bangunan itu ialah G-Brick dan wood plastic composite (WPC).

G-Brick merupakan batu-bata ‘hijau’ yang dihasilkan dengan formulasi menggabungkan bahan terbuang, red gypsum, daripda industri penghasilan serbuk putih titanium dioksida.

Produk batu bata itu mempunyai warna asli yang menarik serta sesuai digunakan bagi projek pembinaan kerana ia telah melepasi ujian spesifikasi yang ditetapkan bagi bahan binaan.

Selain itu juga ia telah mendapat sijil kelulusan ujian tahan api selama 130 minit dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, katanya.

Bangunan yang telah siap 98 peratus dan bakal dijadikan sebagai bilik pensyarah itu turut kelihatan modern dan kontemporari dengan penggunaan kepingan WPC.

Dr Rosli berkata WPC yang kelihatan seperti kepingan kayu itu sebenarnya dihasilkan dengan menggunakan ramuan 70 peratus serbuk kayu dan polyethylene, sejenis plastik ringan yang kuat.

"Kami turut menggunakan cat khas yang mampu mengurangkan haba yang dihasilkan oleh kontena, contohnya jika suhu di luar 35 darjah celcius, maka suhu di dalam kontena adalah 25 darjah celcius tanpa menggunakan pendingin hawa atau kipas," katanya.

Menurutnya penggunaan kontena sebagai bahan utama untuk membina bangunan juga mampu menjimatkan kos dan masa lebih 30 peratus daripada bangunan biasa kerana tidak memerlukan kerja menanam cerucuk bangunan.

Beliau juga menjangkakan teknologi hijau ini dapat mencetus satu pembaharuan dan alternatif dalam sektor pembinaan negara selain mampu mengurangkan pencemaran. - Bernama

0 ulasan: